PETALING JAYA: Seorang pengguna media sosial yang dikenali sebagai Najihah menafikan dia mempunyai hubungan dengan salah seorang pesalah laku dalam kes kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain.
Katanya, ada sesetengah pihak yang sengaja mengaitkannya dengan pesalah laku tersebut.
“Saya tak ada hubungan apa-apa pun dengan salah seorang pesalah laku itu, suka hati cakap Najihah teman wanita pelaku kes itu, padahal kebetulan sama nama dengan saya, senang-senang cakap.
“Jadi tak perlu lebih-lebih lagi, tak ada apa hubungan pun,” katanya secara langsung menerusi akaun Instagramnya hari ini.
Bagaimanapun, dia tetap mempertahankan pendiriannya berhubung kes tersebut.
“Jangan nak mudah sangat salahkan orang, hukum orang, kaji dulu betul-betul, kalau dah nampak salah, nampak salah sahaja, tak nampak dah dekat mangsa.
“Saya berani menulis di Twitter sebab saya tahu cerita sebenar, tapi minta maaf sangat-sangat sebab tak boleh cerita hal sebenar.
“Kalau cerita nanti makin panjang, arwah dah tenang kat sana, yang lain dah kena hukuman, jadi tak ada apa lagi isu. Saya pun minta maaf, sebab menulis macam itu di Twitter,” katanya.
Menerusi akaun Twitternya, Najihah dilihat mempertahan pesalah laku tersebut, sebaliknya cuba menyalahkan mangsa, yang akhirnya menjadi tular di internet.
“Orang hanya akan nampak salah dekat si pelaku, tapi orang tak tahu cerita sebalik kes ini. Fikir logiklah, kalau orang tak usik kita, takkan kita nak usik orang kan? Tak apalah, yang tahu sahaja tahu kisah sebenar,” katanya.
– UTUSAN ONLINE