MELAKA: Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee mengumumkan akan mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu atas tiket Bebas.
Dalam satu sidang akhbar mengejut dilakukan hari ini, beliau menzahirkan keyakinan kerusi itu akan menjadi miliknya dengan jumlah undian besar memandangkan penduduk Pengkalan Batu amat mengenali dirinya selepas lebih tiga tahun memberikan perkhidmatan.
“Saya dengan lafaz ‘bismillah’ akan bertanding di DUN Pengkalan Batu atas tiket Bebas, manakala logo itu nanti akan ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada penamaan calon esok.
“Saya berharap semua pengundi di DUN Pengkalan Batu dapat keluar dan mengundi saya. Saya berjanji akan menabur bakti, jiwa dan raga saya pada semua penduduk Pengkalan Batu sekiranya diberikan mandat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Bilik Gerakan Operasi DUN Pengkalan Batu di Taman Lagenda, Peringgit di sini hari ini.
Tambahnya, meskipun menggunakan tiket Bebas, ia tidak bermakna beliau bakal berdepan dengan cabaran mendapatkan kepercayaan rakyat, sebaliknya percaya petunjuk prestasi utama (KPI) yang dimiliki mampu menumpaskan logo parti lain.
“Siapa kata Bebas tidak boleh berkhidmat? Wakil rakyat yang ada di Melaka, ada buat kerja tak? Jangan tunggu pilihan raya baru nak turun padang, nak tunjuk muka.
“Walaupun di hadapan nama saya tidak ada ‘Ir.’ (Ingenieur), tetapi saya ada ‘JR’ iaitu jiwa rakyat. Saya bukan cakap kosong, boleh buka Facebook saya, boleh tengok, perkhidmatan yang saya berikan lebih baik daripada mereka yang ada parti"katanya.
-utusan