Kuala Lumpur: Beberapa gambar pelawak popular, Tauke Jambu, 44, menggayakan baju Melayu putih lengkap bersamping bersama seorang wanita berbaju kurung dan bertudung putih seperti selesai bernikah tular di media sosial, hari ini.
Tauke atau nama sebenarnya Zamratul Amri Zakaria didakwa sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita bernama Shu menerusi beberapa video yang dimuat naik teman-teman rapat pasangan itu.
Sementara itu, ruangan komen dipenuhi dengan komen netizen yang keliru dengan situasi itu memandangkan Tauke sudah memiliki isteri bernama Nadia Mohd Affendi.
Malah, ada yang mempersoalkan bilangan perkahwinan pelawak popular itu.
"Kalau benar benda ini tidak betul atau sekadar penggambaran, jangan buat 'content' begini kerana boleh menimbulkan fitnah. Kalau betul cakap betul, salah cakap salah" komen seorang netizen.
"Selamat berpoligami Shu, yang pergi biarkan dia pergi sebab yang terbaik mesti datang lambat. Sesungguhnya Allah lebih tahu segala-Nya," kata seorang pengguna TikTok.
Bagaimanapun, cubaan Harian Metro menghubungi Tauke dan Nadia bagi mendapatkan pengesahan tidak berjaya apabila kedua-duanya tidak menjawab panggilan telefon dan membalas mesej WhatsApp.
Pada 2019, Tauke menafikan dia menceraikan Nadia melalui rakaman suara yang dihantar dalam aplikasi WhatsApp seperti didakwa isterinya pada Januari tahun itu.
Difahamkan, keretakan rumah tangga mereka berpunca daripada orang ketiga. Ia mula goyah apabila Tauke dikatakan curang dengan seorang wanita.
Bagaimanapun, Nadia ketika dihubungi wartawan ketika Tauke ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks di sebuah hotel di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Ogos lalu mendakwa dia masih isteri kepada Tauke.
Tauke dan Nadia berkahwin pada 9 Disember 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Zamatul Khayla Aydina, 3.
-MyMetro