Transparency International hq di Berlin |
PUTRAJAYA: Kelemahan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) yang ‘habis diubah’ oleh pentadbiran terdahulu kini menempatkan negara ini dalam ancaman risiko bahaya besar.
Kedudukan teruk perisikan Malaysia itu difahamkan ada kaitan ‘campur tangan’ ketara ke atas MEIO ketika era kerajaan Pakatan Harapan selepas menang Pilihan Raya Umum pada 2018.
Ini terbukti apabila Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) meletakkan angka sifar iaitu kritikal yang paling teruk dalam penilaian risiko perkhidmatan perisikan untuk Malaysia.
Indeks bagi tahun lalu itu diterbitkan badan penyelidikan ketelusan antarabangsa, Transparency International (TI) baru-baru ini jelas mendedahkan aspek perisikan Malaysia amat lemah.
Ia sekali gus menjadikan negara ini hanya memperoleh markah keseluruhan 45 atau D yang bermaksud risiko tinggi dalam GDI bersama-sama dengan sejumlah 16 negara lain di dunia.
Perkara itu diakui Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan menerusi kenyataan sambil menggesa kerajaan agar melihat serius penarafan buruk tersebut.
Penilaian Malaysia itu setaraf dengan Albania, Argentina, Armenia, Botswana, Chile, Greece, Hungary, Indonesia, Kenya, Kosovo, Portugal, Rusia, Serbia, Tunisia, Uganda dan Ukraine.
Di peringkat rantau Asia Tenggara, hanya Filipina dan Singapura meraih C manakala lapan negara dalam kelompok B dan New Zealand muncul negara tunggal menerima penarafan A.
Agensi itu yang merupakan Bahagian Penyelidikan di Jabatan Perdana Menteri, diwujudkan sejak 1960-an lalu berdasarkan gaya model Pejabat Penyelidikan Kabinet Jepun atau Naicho.
Dianggap setaraf Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Amerika Syarikat (AS), MEIO seperti Naicho yang ditubuhkan pada 1952 lalu, turut menghantar laporannya terus kepada Perdana Menteri.
Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO), antara badan risikan penting dengan misi sulit bagi melindungi keselamatan negara, dianggotai individu dari pelbagai latar belakang dan kepakaran.
Antaranya pakar dalam bidang teknologi maklumat, keselamatan dan bencana serta urusan berkaitan diplomasi atau rundingan.
Seorang individu yang pernah bertugas bersama organisasi berkenaan, berkata keanggotaan MEIO kini dianggar lebih 1,000 orang dengan tempat tugasan bukan hanya di Putrajaya, tetapi juga semua negeri dan di luar negara termasuk Eropah dan Asia Barat.
Misi berjaya yang dikaitkan dengan Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia (MEIO) ketika sebelum 2018:
-Kes penculikan rakyat Malaysia di luar negara
-Rundingan damai antara Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan Kerajaan Filipina
-Isu keselamatan di selatan Thailand
-Misi bantuan kemanusiaan ke Bosnia, Yaman, Syiria
-Insiden MH17 ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine
-UTUSAN/TunCarlos