BUTTERWORTH - Sebuah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas dalam sesi latihan di Pangkalan Udara Butterworth TUDM di sini, malam Selasa.
Sumber berkata, kejadian melibatkan pesawat Hawk MK108 bersama dua juruterbang itu berlaku pada jam 10.07 malam di dalam pangkalan udara milik TUDM tersebut.
Seorang juruterbang disahkan meninggal dunia, dan seorang lagi mengalami kecederaan.
Sementara itu menurut Utusan Online, saksi kejadian terbabit mendakwa mendengar dua letupan kuat sebelum melihat api marak di atas landasan di Pangkalan Udara berkenaan.
Seorang peniaga kedai makan di Kampung Benggali, Sungai Puyu, dekat sini, Mastura Mohammad Nordin, 44, berkata, dia mendengar deruan pesawat yang agak kuat berbanding kebiasaan kerana kedainya terletak berdekatan pangkalan udara itu.
“Saya dengar bunyi agak lain berbanding kebiasaan ketika pesawat masih di udara kerana sudah biasa dengan bunyi pesawat.
“Ketika pesawat itu hampir mendarat, saya dengar dua dentuman yang sangat kuat sebelum melihat api marak ketika pesawat terhempas di landasan,” katanya.
Menurut Mastura, ketika kejadian dia sedang membersihkan gerai makanan yang diusahakannya untuk pulang ke rumah yang terletak berdekatan.
BERITA LANJUT MENYUSUL