MELAKA: Pakatan Harapan (PH) menerima kekalahan dan akan mengkaji kelemahan parti itu termasuk keputusan menerima dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan Melaka.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PH menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat Melaka yang memilih Barisan Nasional (BN) untuk kembali menjadi kerajaan.
Ujarnya, pihaknya akan mengkaji kelemahan agar dapat memahami kehendak rakyat dan memperbaikinya sebagai persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Mandat yang diberikan kepada PH tidak sempat untuk kami lunaskan dalam tempoh lima tahun disebabkan dengan cara yang kita tahu.
“Bagaimanapun, rakyat telah membuat keputusan dan itu perlu dihormati kerana ia dibuat melalui pilihan raya, jadi penting untuk PH mengkaji kelemahan serta memahami keputusan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Diminta mengulas mengenai kekalahan PH yang mungkin disebabkan keputusan menerima dua bekas ADUN, Datuk Seri Ir. Idris Haron (BN-Sungai Udang) dan Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), beliau memberitahu perkara itu turut dikaji.
“Walaupun keputusan ini bukan kayu ukur mutlak, kami tetap membuat penelitian dan pengamatan mengikut saluran. Kita tidak memilih membuat keputusan secara general.
“Kami akan balik, buat penelitian prestasi hari ini, termasuklah sama ada ia mempunyai kaitan dengan dua rakan bertanding atas tiket PH,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi PH negeri, Adly Zahari bagaimanapun meluahkan rasa kecewa dengan kekalahan tersebut.
“Memang kita rasa berdukacita, tapi kalau bertanding memang ada kalah dan menang, namun saya melihat antara kelemahan yang berlaku adalah peratusan keluar mengundi yang rendah iaitu hanya 61 peratus, berbanding sasaran 70 peratus.
“Kita akan membuat penelitian termasuk kaedah untuk memastikan mesej parti dapat disampaikan kepada kepada rakyat dalam kita menghadapi cabaran Covid-19,” katanya.
-UTUSAN