KOTA BHARU: Pas dan Perikatan Nasional (PN) masih mampu menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, biarpun dilabel ‘underdog’ termasuk dijangka bungkus di semua kerusi ditandingi.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, dalam pilihan raya itu, PN merampas dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) dan DAP sebelum ini, serta berada di tempat kedua di beberapa kerusi majoriti Melayu.
Pas pula, kata beliau, hampir merampas kerusi DUN Serkam dengan majoriti tipis 79 undi serta mencatatkan pertambahan undi di semua kawasan ditandingi kecuali Duyong, di sebalik penurunan mendadak peratusan keluar mengundi.
“Ini adalah petanda awal kemampuan Pas dan PN di kubu kuat BN di Melaka, yang tidak boleh dipandang enteng oleh semua parti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Ahmad Fadhli berkata, PRN Melaka turut menyaksikan penolakan besar-besaran rakyat negeri itu kepada Pakatan Harapan (PH) yang tewas hampir semua kerusi pernah dimenangi dalam PRU-14, kecuali di kawasan majoriti bukan Melayu dan ditandingi DAP.
“Satu lagi mereka menang (PH) di Bukit Katil. Saya lihat, sekiranya PH masih lagi bermain dengan sentimen yang menggugat keharmonian negara dan kerukunan Keluarga Malaysia, tidak mustahil hanya DAP yang akan kekal.
“Sementara itu parti lain PKR dan Amanah pula terus tersungkur,” ujarnya.
– UTUSAN ONLINE