Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Undi PH atau gambar isteri tular' PH dakwa telefon calon digodam



PRN MELAKA | PKR mendakwa ada pihak tertentu menggodam telefon genggam calon dan wakil calon Pakatan Harapan (PH) untuk menyebarkan mesej berbaur ugutan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Timbalan Ketua Penerangan PKR Manivanan Gowin berkata kejadian itu disedari kira-kira jam 3 petang semalam membabitkan telefon dua calon PH, Gue Teck (Kelebang) dan Prasanth Kumar Brakasam (Ayer Molek).

Turut digodam, katanya, ialah pengarah pilihan raya PH untuk Ayer Molek Wan Mahadi Wan Hussein.

"Ketiga-tiga mangsa hanya mengetahui insiden tersebut apabila ditegur penerima mesej yang semuanya masyarakat Cina.

"Mereka menjelaskan telah menerima mesej yang mengatakan jika tidak mengundi PH, maka gambar peribadi isteri mereka akan ditularkan," katanya.

Menurut Manivanan langkah itu merupakan perbuatan amat menjijikkan.

Walaupun tidak pasti siapa mendalangi penggodaman itu, katanya, PH yakin ia dilakukan pesaing mereka dalam PRN Melaka.

"Insiden ini adalah cubaan mereka menjauhkan pengundi - khususnya masyarakat Cina - daripada PH.

"Kami juga dapat menjangkakan insiden jijik sebegini akan terus berleluasa hari ini dan esok," katanya.

Manivanan menjelaskan ketiga-tiga mereka sudah membuat laporan kepada polis berkenaan kejadian tersebut.

"Kami memohon agar polis melakukan siasatan secara menyeluruh.

"Kami juga memohon Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut menyiasat dan mengambil tindakan segera," katanya.

-MalaysiaKini