Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ada dua lagi mahkamah, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan -Tuan Ibrahim



Sehari selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Najib Razak, Timbalan Presiden PAS mengingatkan mengenai prinsip keadilan bahawa seseorang itu tidak boleh dianggap bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

Tanpa menyebut sebarang nama, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, orang ramai wajar menunggu sehingga proses tersebut berakhir sebelum membuat ketetapan mengenainya.

Namun Tuan Ibrahim mengingatkan bahawa sebenarnya ada dua mahkamah lagi sedang menunggu bekas perdana menteri tersebut.

"Prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan ia bersalah, maka setelah berjaya dibuktikan, maka itulah keputusannya.

"Namun kita tunggulah proses itu berakhir dengan dua lagi mahkamah.

"Satu Mahkamah Persekutuan di dunia dan satu lagi mahkamah Tuhan di akhirat," katanya melalui hantaran ringkas di media sosial hari ini.

Semalam panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Abdul Karim Abdul Jalil sebulat suara menolak rayuan Najib untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas semua tujuh pertuduhan membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd sebelum ini.

Dua lagi hakim yang mendengar permohonan tersebut ialah Vazeer Alam Mydin Meera dan Has Zanah Mehat.

Bagaimanapun hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib ditangguhkan sementara kes dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.

Tambah Tuan Ibrahim "mahkamah Tuhan" di akhirat kelak adalah yang paling adil dan tepat untuk menentukan kesan tindakan seseorang.

"Mahkamah (akhirat) yang paling adil dan tepat, kerana saksi adalah anggota (tubuh) kita sendiri.

"Kalau seseorang itu dianiaya di dunia akan pasti ia mendapat keadilan di akhirat, tetapi kalau 'pesalah' yang mungkin terlepas di dunia pasti ia tidak akan terlepas di akhirat," katanya yang juga menteri alam sekitar dan air.

-Mkini