Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas Timbalan Menteri akan ditidurkan esok, lapor adik


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Ab Aziz Kaprawi yang dijangkiti Covid-19 sepatutnya ditidurkan hari ini ditangguhkan ke esok.

Perkara itu disahkan adiknya, Khir Johari ketika dihubungi FMT sebentar tadi, yang turut memaklumkan keadaan abangnya tidak menentu, terutamanya tahap oksigennya.

Petang tadi, katanya, doktor memaklumkan situasi Ahli Parlimen Sri Gading itu tidak menentu kerana terdapat sedikit kerosakan dikesan pada paru-parunya.

“Pagi tadi abang kurang sihat, tetapi pada jam 2 petang, keadaan kembali okey. Tapi, waktu maghrib tadi dia kembali tidak sihat.

“Doktor bercadang untuk dia ditidurkan, namun abang minta ditangguhkan esok. Pada abang, dia kelihatan sihat, tetapi doktor terpaksa berbuat demikian kerana dia tidak boleh lasak, jadi dia perlu ditidurkan.”

Khir berkata, beliau dan ahli keluarga sudah mengadakan majlis bacaan Yasin dan doa selamat supaya abangnya sihat semula.

“Saya dimaklumkan, keadaan oksigennya turun naik. Sekejap okey…sekejap ‘drop’. Abang dimasukkan ke hospital kerana oksigen menurun, ambulans datang rumah ambil dia.

“Oksigen abang mula-mula pada tahap 94, kemudian turun kepada 87, kemudian naik semula. Kalau ikutkan doktor, dia sepatutnya ditidurkan esok.

“Tapi kami tidak tahu sekiranya ada keajaiban esok. Kami sekeluarga berharap perkara ini (ditidurkan) tidak berlaku,” katanya.

Aziz, 62, dan isterinya, Sabariah Tokimin disahkan positif Covid-19 lima hari lalu.

Aziz sedang dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, manakala isterinya masih menjalani kuarantin di rumah.