Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ismail Sabri perlu dengar pandangan PN, bukan UMNO yang tentukan PRU15 -Muhyiddin



KUALA LUMPUR: UMNO perlu menghormati Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun sudah memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau sedar ramai ahli Bersatu tertanya-tanya mengenai kedudukan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam Kerajaan Persekutuan yang diketuai oleh pemimpin UMNO sedangkan UMNO sudah membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dalam PRU akan datang.

Beliau berkata, Bersatu memberi sokongan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan bersama-sama di dalam kerajaan yang berasaskan kepada terma-terma tertentu yang telah dipersetujui bersama.

“Selagi mana terma-terma ini dipatuhi, selagi itulah kita memberikan sokongan sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya.

“Tetapi seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri sendiri, UMNO kembali memegang tampuk kerajaan bukan kerana parti itu mempunyai jumlah kerusi majoriti di Parlimen, tetapi kerana sokongan yang diberikan oleh parti-parti PN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa ahli Parlimen bebas.

“Jadi, saya ingin berpesan kepada pihak-pihak tertentu di dalam UMNO. Hormatlah sedikit. Jangan mudah lupa diri.

“Bukan UMNO yang menentukan bila diadakan pilihan raya, rakan-rakan lain terutama dalam PN bersama dengan Perdana Menteri akan berbincang terlebih dahulu bila masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya, itu satu daripada terma yang saya nak nyatakan,” katanya dalam ucapan dasar Presiden di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai; Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul serta Setiausaha Agung Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Edward Linggu.

Menurut Muhyiddin, Bersatu terus komited untuk memperjuangkan kemakmuran rakyat khususnya masyarakat Bumiputera tanpa meminggirkan kepentingan kaum-kaum lain.

“Sebagai sebuah parti pribumi yang progresif, Bersatu akan terus memperjuangkan kepentingan masyarakat Bumiputera dalam kerangka masyarakat majmuk yang berbilang kaum dan agama,” katanya.

-UTUSAN