14 DIS : Pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang lulus dengan sokongan 200 ahli parlimen termasuk daripada pembangkang membuktikan ini adalah politik baharu serta kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Berdasarkan kejayaan itu, Kelab Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) menegaskan bahawa Ismail Sabri perlu terus diberi peluang dan masa untuk membawa lebih banyak perubahan kepada rakyat dan negara.
Pengerusi BBC Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman berkata, banyak kejayaan dan pembaharuan dilaksanakan Perdana Menteri walaupun baru mencapai 100 hari pentadbirannya dan anggota Kabinet.
“Kita berharap agar beliau terus memimpin kerajaan, Kabinet untuk memberikan fokus kepada usaha-usaha membela rakyat dalam usaha mengatasi isu pandemik, ekonomi dan lain-lain yang sewajarnya menjadi tumpuan kerajaan.
“Ahli Parlimen meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada beliau kerana telah memperlihatkan prestasi sangat baik selama 100 hari sebagai Perdana Menteri, membuktikan kejayaan dalam menangani wabak COVID-19 yang dihadapi negara dengan angka jangkitan yang semakin menurun."ujar Tajuddin.
Dalam sidang media yang sama, Dato Seri Nazri Aziz juga menggesa supaya Ismail Sabri diberi peluang untuk mentadbir negara hingga cukup tempoh sepenggal iaitu sehingga tahun 2023.
Menurut Nazri lagi, kerajaan perlu selesaikan beberapa perkara dahulu sebelum adakan PRU15.
Perkara-perkara tersebut adalah isu pengundi 18 tahun , akta anti lompat parti dan isu pendaftaran automatik pengundi.
-BBC