Kerajaan Pahang akhirnya memutuskan untuk menghentikan aktiviti perlombongan yang dikaitkan dengan kerabat diraja berhampiran Tasik Chini di Pekan, Pahang.
Ia susulan laporan Malaysiakini pada Jun yang menyatakan bagaimana kerajaan Pahang – pada 2018 – telah memberikan hak pajakan perlombongan kepada firma berkaitan kerabat diraja di kawasan sensitif untuk alam sekitar, meskipun kerajaan negeri berjanji untuk memulihkan Tasik Chini.
Exco alam sekitar Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin, mengesahkan pembatalan projek itu sambil menyatakan ia adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memulihkan keadaan semula jadi tasik air tawar kedua terbesar di negara ini.
Sebagai sebahagian daripada usaha pemulihan, katanya, kerajaan Pahang juga akan memperluaskan kawasan Hutan Simpan Chini.
Bagaimanapun, sebidang tanah yang dikenal pasti sebagai Lot 89798 di Mukim Penyor, yang terletak projek perlombongan yang dibatalkan itu, tidak dimasukkan ke warta hutan simpan tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Pahang kepada Malaysiakini, pewartaan Hutan Simpan Chini itu diluluskan mesyuarat exco Pahang pada 13 Mac 2019 meliputi kawasan seluas 4,635.39 hektar (11,453.085 ekar), di bawah Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984.
“Selain itu, exco Pahang pada 7 Julai 2021 meluluskan tambahan kawasan tanah untuk diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini, meningkatkan keluasan hutan simpan keseluruhannya kepada 6,502.8 hektar.
“Ini telah diwartakan pada 21 Julai, 2021,” katanya.
Mengenai Lot 89798 di Mukim Penyor, kata jabatan terbabit, ia bukan sebahagian daripada kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan Chini.
Tasik CHini dulu (kiri) dan sekarang (kanan) |
KAWASAN hutan simpan Tasik Chini yang gondol akibat aktiviti perlombongan |
Pemangku Raja Pahang Komited melindungi Tasik Chini
Kerja-kerja penanaman semula juga sedang dijalankan di kawasan Tasik Chini bagi menutup kawasan hutan yang telah ditebang ekoran pembalakan dan perlombongan.
Dalam siri laporan mengenai Tasik Chini, Malaysiakini turut menekankan fakta bahawa tasik itu dan kawasan sekitarnya masih belum diwartakan secara rasmi sebagai hutan simpan, walaupun exco Pahang meluluskannya lebih dua tahun lalu.
Isu itu telah mendapat kritikan meluas dan juga perhatian Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, yang mahu aktiviti perlombongan di Tasik Chini dihentikan.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah |
Pemangku raja juga mengarahkan kerajaan negeri supaya meningkatkan usaha mengenal pasti sumber pendapatan lain selain perlombongan dan pembalakan.
Menjawab perkembangan terkini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang melahirkan rasa gembira atas pembatalan projek perlombongan di kawasan Tasik Chini.
"Sudah tentu kami berasa lega dan gembira," kata ketua MNS Pahang Noor Jehan Abu Bakar. "Ia satu petanda baik untuk Chini."
Tasik Chini ialah hutan belantara tropika yang subur dengan pelbagai bio, menempatkan ratusan spesies flora, hidupan bukan akuatik dan ikan air tawar.
-MalaysiaKini