Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kes buli MRSM, polis akan ambil tindakan



Polis Perak sedang melakukan siasatan terperinci berhubung satu kes buli didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata pihaknya akan melakukan siasatan lanjut sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar (ACP Omar Bakhtiar Yaacob) untuk menjalankan siasatan sama ada benar kes buli itu berlaku di MRSM berkenaan atau berlaku di tempat lain.

"Kita juga akan menyiasat bila kes itu berlaku sebenarnya, sama ada apa yang ditularkan itu kejadian yang sudah lama atau baru sahaja berlaku, kerana ada juga video yang ditularkan sebelum ini kejadian lama tetapi ditularkan semula," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Kampar antara Supt Hasron Nazri Hashim dengan Supt Mohamad Nazri Daud di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar hari ini.

Tindakan beberapa remaja yang dipercayai pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13 hingga 30 saat, sehingga menerima kecaman orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata pihaknya akan menyiasat kesahihan video tersebut bagi memastikan kejadian itu sememangnya berlaku di MRSM tersebut.

“Kami akan ambil tindakan, siasat sepenuhnya kerana kami tidak mahu kes buli ini menjadi satu budaya di MRSM. Mereka masih budak-budak dan perlu dijaga.

“Saya terkejut melihat video itu dan saya tidak mahu perkara ini berulang lagi,” katanya selepas melancarkan program dan pembukaan cawangan Canggih Go baharu di Ampang Baru, di sini, hari ini.

Selain itu, Azizah berkata program tersebut dapat meningkatkan keupayaan usahawan Bumiputera khususnya dalam penjualan pakaian dan keperluan persekolahan, di samping membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Jelasnya, peserta akan diberi bimbingan dan latihan berstruktur yang komprehensif serta kemudahan khidmat nasihat, selain pembiayaaan sehingga RM200,000 kepada peserta yang berkelayakan.

Program tersebut yang telah bermula awal tahun ini menyasarkan pembukaan lima cawangan dalam tempoh setahun dan sehingga kini terdapat empat cawangan iaitu di Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kuala Lumpur.

- Bernama