PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan ketika berada dalam keadaan bingung di tepi jalan Kampung Sungai Rual Melayu, Jeli, selepas menetak mati adiknya, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jeli Ahmad Arifin, berkata suspek yang tinggal bersama dua adiknya termasuk mangsa, dikatakan mengalami kemurungan sejak dua tahun lalu, selepas berpisah dengan bekas isterinya.
Suspek berusia 36 itu ditahan polis jam 11 pagi tadi, bersama sebilah pedang yang digunakan dalam pembunuhan itu.
Dalam kejadian jam 1.20 pagi tadi, mangsa, Ma Udeng Masae, 30, mati di tempat kejadian susulan kecederaan parah di bahagian belakang leher, selepas ditetak menggunakan sebilah pedang.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 3 pagi tadi dan bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, mangsa dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah, manakala suspek sudah menghilangkan diri.
“Sebelum kejadian, mangsa berada di dapur untuk memasak dan tiba-tiba didatangi abangnya itu sebelum menetaknya menggunakan sebilah pedang di bahagian leher,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ahmad berkata, usaha memburu suspek dijalankan sebelum lelaki itu ditemui di tepi jalan di sekitar kampung itu dalam keadaan bingung sambil memegang sebilah pedang.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jeli untuk bedah siasat.
Menurutnya, kesemua mereka yang berasal dari Thailand sudah lama menetap di sini dan bekerja sebagai buruh sekitar kampung itu.
“Hasil soal siasat bersama ahli keluarganya, suspek tidak pernah bertindak agresif dan kadangkala sahaja menjadi murung, tetapi tidak pernah menerima apa-apa rawatan.
“Ujian saringan yang dijalankan mendapati suspek negatif dadah dan permohonan reman akan dibuat esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK),” katanya.
-FMT
video: