Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Menteri jaga NADMA selar laporan media tak bertanggungjawab



SHAH ALAM - Laporan berkaitan Agensi Pengurusan Bencana Negara Jabatan Perdana Menteri (Nadma) yang dikatakan tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menegaskan, media perlu menghasilkan laporan yang lebih tepat dan bermanfaat terutamanya dalam situasi banjir di Malaysia.

“Ini adalah laporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak betul serta mengelirukan banyak pihak. Pastikan laporan yang tepat sebelum dikongsi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Sebelum ini, tular di media sosial kenyataan Abdul Latiff yang menyatakan Nadma tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri dan mendapat reaksi kecaman daripada netizen.

Bagaimanapun, beliau menyangkal laporan kononnya Nadma hanya mengurus pampasan, bukan terlibat kerja kejadian bencana alam menerusi penggulungan perbahasan Bajet 2022 di Parlimen pada 15 November lalu.

Katanya, Nadma sentiasa memantau dan akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pengurusan Bencana Negeri dan juga Ahli-ahli Parlimen.

“Mengikut Perkara 82, Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan iaitu kebajikan termasuk senarai dan tanggungjawab kerajaan pusat, negeri mahupun kerajaan yang ketiga iaitu majlis daerah mempunyai tanggungjawab bersama membantu mangsa bencana kebakaran dan banjir,” ujarnya.