Kementerian Kesihatan mengenakan kompaun RM1,000 kepada penganjur majlis sambutan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur petang semalam kerana gagal memastikan penjarakan fizikal dan menyebabkan berlakunya kesesakan.
Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kompaun itu dileluarkan mengikut Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Akta 342).
“Situasi kesesakan, tiada penjarakan fizikal dan tiada kawalan jumlah pengunjung yang hadir memberi risiko berlakunya penularan jangkitan Covid-19.
“Sehubungan itu, satu (1) kompaun di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan
Penyakit (Akta 342) bernilai RM1,000 telah dikeluarkan kepada pihak penganjur,” kata Khairy dalam satu kenyataan media hari ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan, walaupun karnival empat hari itu disertai ramai anggota kerajaan serta agensi penguat kuasa undang-undang, SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seolah-olah diabaikan.
Pelanggaran SOP yang paling ketara ialah kegagalan menjaga penjarakan fizikal satu meter yang ditetapkan, malah ia kelihatan hampir tidak berlaku langsung terutamanya di kawasan lobi pusat konvensyen terbabit serta di dalam lokasi utama acara.
Pasukan Malaysiakini yang membuat liputan majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada jam 2.30 petang semalam itu juga mendapati hanya sedikit atau tiada usaha untuk mengehadkan bilangan orang awam yang boleh memasuki kawasan pameran.
Ruang tersebut terletak di dalam kawasan tertutup.
-Mkini