Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Peniaga di Kemaman jumpa muntah paus bernilai hampir RM1 juta


KEMAMAN: Seorang peniaga kedai makan di Kemasik di sini, mendakwa menjumpai ketulan lilin seberat lima kilogram yang dipercayai muntah ikan paus, ketika memancing bersama keluarganya, baru-baru ini. 

Aida Zurina Long, 41, berkata, objek yang pada awalnya disangka sampah itu ditemukan terapung kira-kira pukul 11 malam berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) di Marang, dekat sini akhir bulan lalu.

“Saya ambil kayu dan alihkan objek itu ke tepi tebing, esoknya apabila kembali ke situ, saya dapati ketulan berwarna putih berkenaan bukan sampah, sebaliknya seperti batu besar seakan-akan muntah paus,” katanya ketika ditemui pemberita di kedainya, hari ini. 

Aida Zurina kemudian memutuskan membawa pulang ketulan itu ke rumahnya dan terkejut apabila diberitahu bapanya yang merupakan nelayan, objek itu adalah muntah paus. 

“Apabila ayah cakap ini adalah muntah paus, memang saya tergamam dan terkejut. Saya segera membuat carian di internet mengenai ciri-ciri muntah paus atau ambergris. 

Ayah cuba bakar objek itu dan memang benar ia cair seperti lilin, malah turut mengeluarkan bau yang sangat harum,” katanya yang menganggap penemuan berharga itu sebagai rezeki terpijak. 

Aida Zurina berkata, dia bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi menjalankan ujian makmal untuk menentukan ketulenan lilin berkenaan berikutan kos yang terlalu tinggi.

Mengikut harga semasa,  1 kilogram ambergis bernilai USD40,000.

Awal tahun ini, seorang nelayan berusia 20 tahun dari Thailand mendapat durian runtuh apabila menemui sebuah ketulan lilin yang dipercayai muntah ikan paus bernilai sebanyak 210,000 Pound (RM1.16 juta). 

– UTUSAN ONLINE