Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Persenda OKU dalam Tik Tok, Ras Adiba buat laporan polis


Presiden OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata beliau tetap membuat laporan polis ke atas individu yang mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.

Beliau berkata laporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan.

“Ada juga persatuan OKU dan indvidu lain yang menjaga OKU akan buat laporan polis, jika tidak ini (menghina OKU) akan berterusan, tidak akan berhenti.

“Kita perlu pastikan bahawa (menghina OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. 

Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield di Kuala Lumpur, pada kira-kira 2 petang.

Dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi OKU di sebuah pusat membeli-belah di sini sehingga viral dan mendapat kecaman orang ramai telah membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU menerusi klip video.

Selain itu, beberapa individu yang turut tular kerana mempersendakan OKU semasa menggunakan tandas khas untuk golongan tersebut di sebuah stesen minyak juga telah mengemukakan permohanan maaf secara bertulis kepada Ras Adiba.

Sementara itu, Ras Adiba meminta Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membantu memperkasakan OKU antara lain dengan meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008.

“Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 juga mesti benarkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana tingkah laku, timbanglah hukuman maksimum terhadap mereka (yang menghina OKU).

“Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 juga perlulah membenarkan suatu dakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak yang buat komen atau kenyataan jelik dan sebagainya terhadap OKU,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya penganjuran kempen jenayah kebencian OKU untuk memastikan OKU terus dilindungi.

Ras Adiba juga menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kemudahan khas untuk golongan OKU.

- Bernama