Taikun hartanah dan pengasas Country Heights, Lee Kim Yew menjarakkan dirinya daripada Forum Ekonomi China Sedunia 2021 (WCEF), yang mengundang kontroversi kerana mengundang bekas perdana menteri Najib Razak untuk menyampaikan ucap tama.
Dalam kenyataan hari ini, Lee berkata walaupun dia merupakan antara pengasas WCEF, dia kini tidak lagi bersama organisasi itu selepas menubuhkan Sidang Kemuncak Ekonomi China Sedunia pada 2015, yang berubah menjadi Sidang Kemuncak Ekonomi dan Teknologi China Sedunia tahun ini.
Menurut Lee, WCEF diasaskannya dengan sokongan ahli perniagaan Michael Yeo pada 2009.
“Kali ini, mereka (WCEF) mengundang bekas perdana menteri, seorang penjenayah yang telah disabitkan dan sedang menunggu rayuan. Pastinya mereka mengundang perhatian media, dan juga berlaku salah faham terhadap saya.
“Saya perlu jelaskan pendirian, kita perlu hormat kehakiman dan tegakkan undang-undang di Malaysia. Untuk libatkannya dengan WCEF ‘baru’ ini, yang tidak dianjurkan saya, adalah satu keaiban besar.
“Saya seorang warga yang memandang serius Rukun Negara,” katanya.
Lee berkata dia merasa malu kerana ada pihak yang bertanya kepadanya jika dia mengundang Najib ke WCEF.
Lee Kim Yew bersama Tun Dr Mahathir |
Dia berkata pihak penganjur telah menggunakan nama WCEF sejak dua tahun lalu dan tidak seharusnya berbuat demikian.
“Insiden ini buat saya rasa malu tapi pada masa sama saya juga berbesar hati.
“Ia menunjukkan nama WCEF, yang dimulakan oleh saya pada peringkat awal, ada pengaruh kuat, dan tenaga positifnya membuatkan ramai orang ingin turut serta. Tetapi saya membantah plagiarisme,” katanya lagi.
Selain menyampaikan ucap tama, Najib juga menjadi tetamu kehormat untuk majlis anugerah dan makan malam pada malam ini.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah untuk tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa dalam kes SRC International.
Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu dan antara lain menyifatkan Najib sebagai memalukan negara.
Najib kini mengemukakan rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.