Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tengku Zafrul dakwa tak berminat cari isteri lagi seorang



PETALING JAYA – Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz terkejut selepas terbaca ada wanita terpedaya dengan janji manis ‘scammer’ yang mengaku sebagai dirinya sehingga sanggup menyerahkan wang sebanyak RM4,200.

“Sekiranya ada perkara yang mencurigakan, sila semak dengan pihak berkuasa agar perkara begini tidak akan berlaku lagi.

“Kalau ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan dan menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah kerana hati saya sudah berpunya dan tidak berminat untuk mencari yang kedua,” katanya di akaun Facebooknya.

Tengku Zafrul turut memberi nasihat kepada wanita di luar sana agar lebih berhati-hati dengan pelbagai tipu helah oleh individu yang tidak bertanggung jawab.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang wanita berusia 59 tahun yang bekerja sebagai guru tadika mengalami kerugian RM4,200 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai Menteri Kewangan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof dilaporkan berkata, mangsa yang tinggal di Kemayan, Bera berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini.

Katanya, lelaki terbabit menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul dan memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan dan berjanji untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta serta sebuah kenderaan jenis Rolls-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya.

“Suspek kemudiaan meminta mangsa berurusan dengan individu bernama Siti menerusi WhatsApp yang didakwa pengurus bank kepada Tengku Zafrul.

“Mangsa kemudiannya diminta membayar yuran pemprosesan untuk berkahwin dengan suspek.

“Selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan kerana tidak berpuas hati suspek menggunakan nama menteri untuk menipunya selain bimbang akan keselamatan diri, keluarga serta hartanya di kemudian hari,” ujarnya. 

– K! ONLINE