ADUN Bersatu disiasat kes mencabul ahli Srikandi
Polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Hussin Zamora berkata pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan salah laku ADUN terbabit terhadap wanita berumur 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada kira-kira 11.30 pagi tadi.
“Ya, ada terima. Kes berkenaan sedang disiasat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurut sumber dari laporan MalayMail, mangsa yang juga ahli Srikandi Bersatu mendakwa telah beberapa kali diganggu secara seksual oleh ADUN terbabit.
Insiden itu berlaku apabila dia dan ADUN itu, yang berusia 50-an, menyertai sukarelawan bantuan banjir Bersatu Johor.
“Mangsa mendakwa dia dicabul secara seksual ketika berada dalam kereta bersama ADUN di beberapa lokasi seperti Kota Tinggi, Kuala Sedili, Bukit Kepong dan Mersing dari 2 hingga 13 Januari lalu.
“Mangsa juga pernah berkata dia hanya berjaya menepis ADUN itu pada satu ketika apabila dia mahu menyentuh bahagian sulitnya,” kata sumber yang enggan dikenali itu.
Sumber itu berkata, wanita itu yang bimbangkan keselamatannya kerana berada dalam parti yang sama dengan ADUN itu, membuat laporan di balai polis Kota Tinggi pada 11.30 pagi hari kelmarin.
- Bernama