WALAUPUN sibuk dengan program realiti Gegarvaganza, itu bukan penghalang buat penyanyi Aweera untuk turun menjayakan misi bantuan banjir.
“Alhamdulillah, walaupun saya agak sibuk dengan Gegar Vaganza itu bukan penghalang untuk saya bersama-sama menghulurkan bantuan kepada sahabat-sahabat kita yang terkesan.
Saya dan team Projek Jalinan Kasih dimaklumkan penduduk, yang mereka masih belum mendapat bantuan mencukupi.
Mereka masih memerlukan barangan penting seperti dapur dan perkakas untuk memasak dan kami sedaya upaya akan cuba memenuhi keperluan mereka setakat mana yang termampu,” katanya.
Aweera pada Isnin lalu mengagihkan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Sri Tanjung, Dengkil bersama kumpulan sukarelawan Projek Jalinan Kasih 6.0.
Menurut Aweera mereka berjaya mengutip lebih RM4,000 hasil sumbangan kelab peminat Aweera termasuk orang ramai.
Selain wang tunai, mereka turut menerima barangan keperluan seperti telekung, al-Quran dan lampin pakai buang.
“Hasil wang tunai yang kami terima digunakan untuk membeli bekalan makanan, barangan elektrik, banta, selimut dan lain-lain barang keperluan,” katanya.
Dalam pada itu Aweera turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan misi tersebut.
“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan dan penyumbang yang sudi membantu team Projek Jalinan Kasih 6.0 dalam menjayakan misi bantuan pasca banjir ini.
“Special thanks to Puan Yaya dan Murni dari @myniq.resources kerana sudi sponsor 4x4 untuk kami membawa semua barang-barang sumbangan.
"Also thank you to team #projekjalinankasih @aweerians_armyfc kerana sudi untuk berkolaborasi dengan saya untuk Misi Bantuan Pasca Banjir Projek Jalinan Kasih X Aweera.
"Kepada yang sponsor makanan dan minuman, terima kasih banyak-banyak dan semoga rezeki anda melimpah ruah,” katanya.
Dalam perkembangan lain Aweera bakal beraksi di minggu kelapan, GV8 pada Ahad ini.
GV8 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam.