PUTRAJAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sentiasa bersedia berdepan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) atau Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika ia diadakan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sentiasa mengadakan mesyuarat ssbagai persediaan ke arah itu.
“Saya sebagai Setiausaha Agung Bersatu sentiasa adakan mesyuarat dan akan memastikan rakyat di negara ini tahu siapa kepemimpinan terbaik bagi kepentingan negara,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab desas-desus mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat.
Desas-desus ini bukan sahaja mengenai PRN di Johor sebaliknya turut membabitkan PRU-15 dimana ada dakwaan parlimen akan dibubar pada penghujung Februari.
Desas-desus mengenai PRN di Johor timbul beberapa hari lalu susulan kenyataan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad yang seolah-olah tidak menafikan khabar angin mengatakan diadakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu turut mengakui kerajaan negeri ‘tidak suka’ dengan istilah satu iaitu hanya majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja yang dimiliki oleh mereka hari ini.
– UTUSAN ONLINE