Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bukan saja rakyat, Anwar sendiri dah hilang keyakinan terhadap PH -Azmin



KUALA LUMPUR: Tindakan PKR enggan menggunakan logo Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, menunjukkan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim mula hilang keyakinan pada gabungan pembangkang itu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, mendakwa akar umbi pembangkang kini hangat mempersoalkan tindakan Pengerusi PH itu yang dilihat tidak bersedia menggunakan logo PH.

Mohamed Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR menegaskan rakyat Johor perlu mengambil kira perkara itu ketika membuat keputusan dalam PRN Johor nanti.

"Bagaimana nak jelaskan kepada rakyat, apabila ketua sebuah gabungan parti tidak bersedia menggunakan logo parti sendiri.

"Ini satu pertanyaan yang sedang hebat diperkatakan di peringkat akar umbi. Kalau ketua sendiri tidak yakin dengan parti atau gabungan sendiri, itu satu perkara besar harus menjadi pertimbangan rakyat di Johor," katanya ketika ditemui di Selayang Baru dekat sini, hari ini.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan AMANAH menggunakan logo gabungan pembangkang itu.

Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden AMANAH, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri, meskipun mempunyai perbezaan pendapat mengenainya.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis politik dilaporkan melihat tindakan berkenaan memberi bayangan bahawa gabungan pembangkang itu dalam keadaan berpecah, khususnya selepas tersungkur dalam PRN Melaka.

Sementara itu, mengulas tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Johor keluar parti, Mohamed Azmin menegaskan ia tidak menjejaskan persiapan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor.

Tegasnya, BERSATU sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan, dan menyifatkan tindakan keluar parti itu sebagai bukan perkara luar biasa, khususnya menjelang pilihan raya.

"Yang penting, parti ini masih kukuh, tegap berdiri dengan penyatuan yang bertambah kukuh dalam PN.

"Kita saksikan semalam bagaimana hasil muzakarah antara PAS dengan BERSATU, yang membuktikan PN masih kukuh dan akan terus berusaha mengukuhkan peranan kita dalam demokrasi di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin memberi amaran, PN tidak akan berkompromi dengan 'golongan kleptokrat', dipercayai merujuk kepada beberapa pemimpin dalam UMNO yang berdepan pertuduhan rasuah.

Tegasnya, rakan komponen BERSATU dalam PN, iaitu PAS turut memberi amaran kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak lagi bertindak melakukan PRN seperti di Johor kerana ia akan menggugat prestasi ekonomi dan kestabilan negara.

Katanya, apa juga tindakan politik seharusnya adalah ke arah memperkukuhkan kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan.

"Itu yang dilakukan PN sejak awal. Kita adalah gabungan yang mahukan perpaduan, kestabilan, kedamaian dan bukan persengketaan dan yang mengajak semua pihak duduk berbincang demi kepentingan rakyat," katanya.