Dalam UMNO, sesiapa yang diangkat jadi PM akan diberi 'endorsement' jadi Presiden -Annuar
Labels:
Politik
13 JAN: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menunjukkan isyarat bahawa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah “posterboy” pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), sekali gus sebagai calon Perdana Menteri daripada parti itu nanti.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemakluman Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pascamesyuarat MKT lalu bahawa MKT terus memperkasakan kepimpinan dan kedudukan Ismail Sabri adalah satu manifestasi kebijaksanaan MKT.
“Mesyuarat MKT jelas membuat “endorsement” bahawa Ismail Sabri akan terus memimpin negara sehingga tamat tempoh penggal Parlimen ke-14, pada tahun 2023.
“Dalam UMNO, seseorang yang diangkat sebagai Perdana Menteri akan seterusnya diberi “endorsement” oleh parti untuk mengambil alih kepimpinan parti sebagai Presiden UMNO.
“Saya percaya inilah sebahagian dari sumber kekuatan parti. Peralihan kepimpinan utama sentiasa berlaku secara berhemah dan penuh kebijaksanaan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.
MKT UMNO hari ini menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang perlu terus dimantapkan.
Terdahulu, Ahmad menyatakan bahawa MKT UMNO menegaskan bahawa sokongan kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.
Menurut Annuar, beliau bersyukur MKT UMNO terus mempamerkan kebijaksanaan musyawarah dan sentiasa mempamerkan tahap kematangan politik yang tinggi.
Ini adalah kerana, katanya ahli-ahlinya sentiasa bersuara secara terbuka dan jujur, walau kadangkala timbul perbezaan pendapat di antara mereka.
“Sementara itu, Presiden parti yg menakhodai MKT sentiasa memberi ruang dan meraikan kepelbagaian pendapat di kalangan Ahli MKT. Suara ahli MKT dihormati,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu tahun ini merupakan tahun tamatnya tempoh memegang jawatan bagi semua ahli MKT yang sepatutnya tamat pada tahun lalu, namun ditangguhkan maksima 18 bulan susulan penularan COVID-19 ketika itu.
Justeru, katanya, dalam keadaan COVID-19 yang sudah semakin baik, maka ia adalah masa sesuai untuk mengadakan pemilihan parti.
“Saya percaya MKT tidak akan berlengah untuk segera mengadakan pemilihan sementara keadaan mengizinkan sekarang.
“Lagipun pemilihan jawatan dalam parti sentiasa menghasilkan kepimpinan yg semakin mantap serta saf pimpinan yang mempunyai “legitimacy” yang lebih kukuh dengan mendapat mandat dari akar umbi.
“Meskipun pemilihan dibenarkan dalam UMNO, tidak semestinya pula akan berlaku perebutan. Malah, satu dari amalan yang sering dilakukan dalam UMNO semua peringkat, adalah “baton” kepimpinan bertukar tangan secara harmonis, konsensus dan penuh semangat kesetiakawanan serta mendahulukan kepentingan perjuangan parti,” katanya.