Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Hakim didakwa berbogel di rumah isteri orang mahu saman ahli UMNO



PETALING JAYA: Seorang hakim yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang wanita berkahwin di rumahnya telah memfailkan laporan balas terhadap pengadu terbabit.

Hakim itu juga memfailkan satu lagi laporan polis hari ini terhadap seorang ahli Umno, berhubung satu klip video di media sosial mengenai dakwaan berkaitan.

Laporan balas terhadap pengadu dibuat di Balai Polis Ampang, pada 12 Dis lalu, menurut laporan polis hari ini yang dilihat FMT.

Dalam laporan terkini hari ini, hakim itu menafikan sama sekali tuduhan terhadapnya. Beliau juga telah memberikan kerjasama dengan polis dalam siasatan mereka, katanya.

Hakim itu mendakwa laporan pengadu pada Disember lepas adalah laporan palsu yang didalangi oleh beberapa individu yang mahu menjatuhkan beliau dan merampas jawatannya.

Peguam Akberdin Abdul Kader yang mewakili hakim itu memberitahu FMT, surat tuntutan fitnah akan dihantar kepada ahli Umno itu esok, disusuli writ saman yang akan difailkan di mahkamah di Kuala Lumpur.

Semalam, FMT melaporkan seorang wanita berusia 57 tahun memfailkan laporan polis terhadap hakim kanan itu kerana melakukan gangguan seksual.

Isteri orang itu mendakwa kejadian berlaku ketika hakim berkenaan ke rumah keluarganya pada Ogos 2020.

Pengadu mendakwa hakim berkenaan datang ke rumahnya ketika suaminya terlantar sakit dan mohon dibenarkan menumpang bilik tidur untuk solat.

Dia kemudian mendapati hakim berkenaan berada terlalu lama dalam bilik dan apabila diperiksa mendapati lelaki itu sedang tidur atas katil dalam keadaan bogel.

-FMT