HULU SELANGOR: Seorang lelaki rebah dekat sebuah restoran di Bukit Sentosa, Rawang di sini disahkan mempunyai sakit jantung serta darah tinggi sejak lima tahun lalu dan masih menerima rawatan susulan di Hospital Selayang.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Arsad Kamaruddin berkata, perkara itu disahkan sendiri isteri lelaki berkenaan.
Menurutnya, lelaki berusia 54 tahun itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk ujian Covid-19 dan bedah siasat.
“Pada 19 Januari kira-kira pukul 7 pagi, kaunter aduan Balai Polis Bukit Sentosa menerima satu laporan daripada seorang pekerja Restoran Salam Sentosa menyatakan terdapat seorang lelaki bekerja di kilang tempatan tidak sedarkan diri di restoran tersebut.
“Penolong Pegawai Kesihatan Serendah mengesahkan lelaki berkenaan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu dan doktor mengesahkan punca kematian adalah disebabkan sakit jantung kronik (Coronary Artery Disease),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Arsad, kematian itu tidak mempunyai kaitan dengan isu suntikan dos penggalak.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan satu kejadian tular dalam media sosial melibatkan seorang lelaki dipercayai meninggal dunia selepas rebah dan tidak sedarkan diri ketika sedang bersarapan dekat sebuah restoran di Bukit Sentosa, Rawang pagi tadi.
Menerusi gambar yang turut tersebar dalam aplikasi mesej Whatsapp itu, lelaki berkenaan didakwa baru sahaja mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 sebelum rebah dipercayai akibat sakit jantung.
Dalam pada itu, Arsad turut menyatakan kematian lelaki berkenaan diklasifikasikan sebagai mengejut dan tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mengejut di Restoran Salam Sentosa yang tular dalam media sosial,” jelasnya.