KUALA LUMPUR: Seorang pemilik premis menjual alat muzik Woh Fatt Music House Sdn Bhd berputih mata apabila rumah kedainya di Jalan Silang, berhampiran Plaza Kota Raya, di sini, terbakar, petang tadi.
Dalam kejadian sekitar jam 4.50 petang itu, hampir keseluruhan ruang penyimpanan peralatan muzik di tingkat atas, rumah kedai dua tingkat itu musnah dijilat api.
Bahagian Operasi Negeri, Cawangan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 4.55 petang.
"Pihak Jabatan Bomba mengerahkan 10 jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Hang Tuah, Keramat, Pudu, Titiwangsa bersama jentera FRT, LFRT, lori tangki Bomba dengan kekuatan seramai 45 pegawai dan anggota.
"Bomba dapat menyelamatkan unit kiri dan kanan bangunan yang terbakar iaitu mengelak api merebak," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
"Pemeriksaan mendapati tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan punca kebakaran serta jumlah kerugian sedang disiasat," katanya.
Susulan kejadian ini semua laluan menuju ke arah Jalan Silang dan Jalan Tun Tan Siew Sin, di belakang Plaza Kota Raya, ditutup.
-BHonline