Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kenduri dadah dekat Klang, 52 penagih dicekup


Pelabuhan Klang: Ibarat 'perkampungan dadah' apabila sekumpulan 52 penagih yang sedang berseronok menagih dadah di hutan sekitar Kampung Nelayan, Telok Gong, di sini, diserbu polis.

Lebih mengejutkan apabila ada antara pengedar dadah yang diberkas adalah banduan yang baru sebulan dibebaskan dari penjara.

Semua penagih warga tempatan itu berjaya ditahan hasil operasi oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kesemua suspek yang ditahan termasuk dua wanita itu disyaki terbabit dengan pengedaran dan penagihan dadah.

"Dalam operasi yang bermula jam 5 pagi semalam, seramai 52 suspek berumur 31 hingga 61 tahun ditahan selepas lokasi itu dikepung.

"Polis turut merampas 62 paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 111 gram bernilai RM8,000.

"Suspek yang ditahan membabitkan seorang pengedar dadah, 30 suspek memiliki dadah, 15 penagih serta enam individu dikehendaki polis," katanya.

Hoong Fong berkata, pihaknya menjalankan risikan selama seminggu sebelum menjalankan operasi serbuan di lokasi berkenaan.

"Lokasi itu pernah diserbu polis pada Oktober tahun lalu namun dipercayai kembali aktif kira-kira sebulan selepas itu," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, tokan dadah berumur 40-an itu baru sebulan dibebaskan dari penjara.

"Bermakna selepas menjalani hukuman, dia kembali aktif.

"Kebanyakan suspek yang ditangkap ini mempunyai mempunyai rekod jenayah dadah sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, operasi berterusan akan dilakukan dari masa ke semasa dan pihaknya mengharapkan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat.

-HMetro