Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Nurul Izzah tak puas hati emaknya dipanggil Bukit Aman


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar hari ini mendakwa tindakan pihak berkuasa memanggil beberapa Ahli Parlimen pembangkang dalam siasatan penerbitan memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sebagai satu intimidasi politik.

Dakwanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) seharusnya menyelesaikan masalah dihadapi rakyat ketika ini dan bukannya digunakan untuk intimidasi politik Ahli Parlimen pembangkang.

"Beberapa Ahli Parlimen selain Datuk Seri Wan Azizah disiasat dan dipanggil hari ini walaupun kes hari ini sebagai mana YB William (peguam) katakan berkait siasatan terhadap buku pada saya ini jelas intimidasi politik.

Kita melihat salah guna penggunaan aset negara iaitu PDRM yang sepatutnya digunakan menyiasat dan menyelesaikan masalah rakyat," jelasnya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Tambah Nurul Izzah, pelbagai masalah dihadapi rakyat ketika ini yang perlu diselesaikan pihak polis.

Justeru, beliau mengharapkan agar intimidasi politik terhadap ahli politik pembangkang dihentikan.

"Kita tahu pelbagai masalah dihadapi di Malaysia ini dan intimidasi politik seperti ini tidak boleh kita toleransi.

"Jadi saya minta kepada Menteri Dalam Negeri agar menghentikan intimidasi sebegini. Kita ada MoU, fokus kepada perjanjian itu dan keutamaan dalam menyelesaikan isu rakyat dan hentikan intimidasi ini.

"Adalah kurang bijak untuk memanggil Ahli Parlimen Pandan untuk di siasat sebegini. Kita hormati anggota polis mereka lakukan tugasan, tetapi punca kuasa pihak keluarkan arahan harus ambil tanggungjawab, lebih lagi bila berkait dengan buku siasatan ke atas salah seorang peguam di negara kita," jelas Nurul Izzah lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman kira-kira jam 2.32 petang Jumaat.

Beliau bagaimanapun dilihat meninggalkan ibu pejabat polis itu jam 4.25 petang.

Saya ditanya empat soalan -Azizah

'Saya hanya menjawab empat soalan ditanya kepada saya berhubung siasatan.' jelas bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selepas hadir memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan berhubung penerbitan buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Ujarnya, beliau diminta untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi satu mesej oleh pegawai polis bertugas.

Turut hadir memberikan sokongan terhadapnya, Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah, Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Saya dipanggil kerana Asisten Superintendan Khairul memberi satu mesej bahawa saya perlu menjawab empat soalan dan saya dah jawab, tapi tak banyak saya boleh kongsi.

"Sekejap sahaja empat soalan tetapi memang berkaitan pendapat (Tan Sri) Tommy Thomas, itu saya tidak boleh komen apa-apa itu pendapat dia, saya cuma boleh jawab tentang fakta sahaja," jelasnya ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Terdahulu, Penasihat Majlis Presiden Pakatan Harapan itu dilihat meninggalkan Bukit Aman kira-kira jam 4.25 petang.

Sementara itu, menurut peguam mewakili Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Selayang, William Leong, keterangan itu hanya berkait tentang buku terbabit sahaja.

"Datuk Seri Wan Azizah diminta untuk hadir ke Bukit Aman dan telah disoal oleh Inspektor.

"Siasatan tentang Tommy Thomas dalam buku dan soalan tentang kandungan dalam buku," jelasnya.

Turut hadir memberikan sokongan kepada Wan Azizah, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah dan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

Buku bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” yang ditulis bekas peguam negara Tommy Thomas itu diterbitkan tahun lalu.

Susulan itu, kerajaan menubuhkan satu pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal kandungan buku tersebut.

-Awani