Gambar: FB Najib Razak |
KUALA LUMPUR: Beberapa NGO dan individu mewakili pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini tampil meminta bantuan Najib Razak membawa suara mereka dengan merayu kepada Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya kerajaan membenarkan pengeluaran dana simpanan berjumlah RM10,000 tanpa syarat.
Wakil pencarum, Azmi Mohd Tahir berkata, rayuan itu dibuat kerana ramai pencarum terkesan akibat penularan Covid-19 dan langkah kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 2020.
Katanya, sehingga kini lebih 50,000 pencarum menandatangani petisyen menuntut pengeluaran terakhir RM10,000 dari KWSP secara “one off” yang diusaha beliau menerusi atas talian.
“Tuntutan ini bukan sahaja kerana banjir, ia kerana PKP yang berlanjutan sehingga dua tahun dan ramai pekerja hilang kerja, dapat separuh gaji, tidak dibayar gaji dan banyak industri tutup dan gulung tikar.
“Kami berjaya dapat lebih 50,000 tandatangan pencarum secara dalam talian yang mendesak kerajaan benar pengeluaran terakhir RM10,000 KWSP,” katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum kepada Najib di pejabat bekas Perdana Menteri itu di Bukit Pantai, Bangsar, Kuala Lumpur.
Beliau juga menafikan desakan kepada kerajaan supaya membenarkan pengeluaran RM10,000 bukan kerana hasutan Najib sebaliknya ia dibuat atas kehendak pencarum sendiri yang terkesan akibat Covid-19 dan pelaksanaan PKP.
Hadir sama ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang turut membuat tuntutan sama.
Presiden PPIM, Nadzim Johan berkata, tuntutan itu dibuat kerana masih ramai pencarum yang belum mendapat pekerjaan dan gaji yang stabil.
“Malah ada juga pencarum sudah mendapat pekerjaan tetapi kadar gaji ditawarkan dan diterima tidak seperti gaji diterima sebelum pandemik Covid-19 sedangkan komitmen sedia ada berdasarkan pendapatan terdahulu.
“Ada juga pencarum yang mahu mengeluarkan simpanan KWSP kerana mahu melunaskan tunggakan hutang, pinjaman dan lain-lain,” katanya.
Katanya, pencarum juga berdepan kesan berganda akibat banjir di beberapa negeri pada hujung tahun lalu.
Sebelum ini, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP menerusi i-Sinar pada Mac lalu, dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi mengurangkan impak pandemik. Tapi masalahnya ia diberi secara berperingkat-peringkat.
-FMT