PETALING JAYA: Tindakan saman akan diambil Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ke atas mana-mana individu yang bertindak mencemarkan reputasinya dan agensi itu.
Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Azam menegaskan tindakan itu diambil bagi memastikan dakwaan yang tidak berasas itu tidak berulang.
“Tunggu, saman akan dibuat ke atas orang itu,” katanya di sini hari ini.
Semalam, Azam menerusi sidang akhbar khas bersama Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya memaklumkan terdapat usaha beberapa pihak yang berkepentingan atau mempunyai agenda yang tidak baik terhadap SPRM.
Pihak berkenaan mengambil kesempatan untuk terus menghakis kepercayaan masyarakat ke atas agensi itu dengan menjadikannya sasaran serangan bertubi-tubi.
Setelah mendapatkan nasihat peguam, Azam membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.
Azam berkata, mereka yang terlibat sudah dikenal pasti dan mendakwa mereka digunakan pihak tertentu untuk memberi tekanan ke atas SPRM.
-utusan