KENYATAAN MEDIA
Setelah begitu lama terlibat dalam dunia politik, dan setelah dua penggal dilantik sebagai Adun, saya amat menyedari tanggungjawab seorang wakil rakyat, yang salah satunya untuk mematuhi undang-undang. “Keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, malah perlu nampak sebagai terlaksana”. Itu lah pendirian saya selama ini.
Sepertimana yang dilaporkan media, sayalah Adun yang baru-baru ini ditahan oleh pihak polis di Perai.
Saya faham kekecewaan mereka di sekeliling saya yang berpunca daripada insiden terbaru ini, di mana saya dilaporkan ditahan kerana didapati positif dadah.
Dalam kenyataan beramaran saya kepada pihak polis, saya telah menyatakan:
1 - Saya diundang bertemu kawan-kawan (yang juga sebenarnya klien) untuk perjumpaan dan makan Tahun Baru Cina Di Pulau Pinang.
2 - Apabila tiba di Perai, saya dibawa ke lokasi di mana saya akan kemudiannya ditahan
3 - Saya teragak-agak untuk masuk ke premis terbabit, namun akhirnya masuk.
4 - Saya tidak mengambil sebarang bentuk bahan terlarang
5 - Saya terkejut ketika dimaklumkan bahawa ujian air kencing saya positif, kerana saya ini merokok pun tidak
6 - Saya dihidangkan minuman yang ‘aneh’. Saya tidak meminumnya selepas merasa sedikit
7 - Saya kemudiannya dimaklumkan keesokan harinya bahawa ketika saya ke tandas, seseorang telah datang ke meja dan mengisi gelas minuman saya
Ekoran insiden ini, pada 14 Januari 2022 sebaik sahaja dibebaskan, saya telah membuat laporan polis menyatakan bahawa saya terdedah kepada anasir yang mencurigakan dan telah menamakan saksi terhadap kejadian terbabit. Saksi tersebut telah pun memberi kenyataan kepada polis dan mengesahkan apa yang telah dia lihat. Berikutan dengan ini Saya telah memohon pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut dan orang ramai boleh menilai kenyataan beramaran saya kepada pihak polis dan membuat kesimpulan mereka sendiri.
Walau bagaimanapun, saya akan mempertahankan diri untuk membuktikan bahawa saya tidak bersalah.
Pun begitu, ramai yang telah membuat keputusan bahawa saya semestinya bersalah.
Tiada apa yang berubah, dan saya akan terus menjalankan tanggungjawab terhadap pengundi saya serta tetap berpendirian bahawa dadah adalah permasalahan sosial dan akan terus berjuang menentangnya.
Saya berterima kasih kepada kepimpinan parti atas sokongan dan kepercayaan mereka kepada saya. Berkenaan dengan pendirian DAP Perak menuntut saya memberi penjelasan dan saya patuhi.
Sebagai Adun yang bertanggungjawab dan dilantik di bawah bendera parti, saya juga bersedia untuk melindunginya daripada sebarang masalah dan bersedia untuk digantung keahlian, supaya pihak parti tidak terheret sama dalam kes ini.
Buat para penyokong yang mengenali saya secara peribadi, terutamanya penduduk Pasir Bedamar, saya dengan rendah hati memohon maaf kerana meletakkan diri dalam posisi yang berbahaya.
Yang benar.