Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tiada tempat untuk 'katak' dari Bersatu dalam PRN Johor


KOTA TINGGI - Pemuda UMNO Bahagian Kota Tinggi menolak hasrat tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan mahu menyertai semula UMNO.

Ketuanya, Johan Azam Mohd Yasin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan 'katak politik' tersebut apatah lagi untuk menjadi calon dan mewakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Tindakan ini tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit dengan menggunakan UMNO sebagai medan perjuangan mereka.

"Pemuda UMNO Kota Tinggi dengan ini berpendirian bahawa tidak akan sesekali menyokong penyandang DUN Johor Lama, Rosleli Jahari mahupun DUN Sedili, Rasman Ithnain daripada mewakili BN pada PRN.

"Kami tidak akan sesekali menyokong 'katak politik' yang tidak mempunyai pendirian dalam perjuangan. Mereka ini tidak layak mendapat tempat lagi dalam parti keramat ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Johor menegaskan, pemimpin yang layak disokong adalah mereka yang setia terhadap parti dalam apa jua keadaan, bukannya mereka yang berpaling dari medan perjuangan dan sanggup menggadaikan maruah demi kuasa dan harta.

"Kami berharap agar kepimpinan UMNO bahagian ini, peringkat negeri mahupun Pusat meneliti perkara itu.

"Kepimpinan parti perlu membuat keputusan tepat dalam meletakkan calon yang selayaknya bagi mempertahankan kerusi tradisi BN itu," katanya.