Napsiah Khamis |
Kluang: Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor yakin sokongan rakyat negeri ini terhadap Pakatan Harapan (PH) masih kuat seperti yang diraih ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
Ketuanya, Napsiah Khamis berkata, justeru pihaknya berharap strategi termasuk meletakkan calon mesti menang yang mempunyai rekod yang bagus adalah kriteria paling utama dalam berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Katanya, Wanita PKR Johor juga berharap lebih ramai calon wanita ditampilkan pada pilihan raya itu.
"Pilihan raya perlu diadakan walau apa cara sekalipun. Perhubungan antara PH perlu dijadikan satu tonggak untuk meraih undi daripada semua rakyat Johor.
"Kalau boleh calon wanita Johor lebih banyak daripada PRU-14 tetapi yang paling utama bukan agenda, sebaliknya adalah calon yang mesti menang.
"Calon mesti menang ini keutamaan kita, kalau kita ada calon-calon wanita yang ada ciri-ciri itu, maka ia adalah bonus untuk kita," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Napsiah berkata, pihaknya akan mengerah kekuatan jentera wanita menggunakan pendekatan 'membawang' sehingga menang pada PRN Johor.
Wanita selalu dikaitkan dengan banyak cakap dan kita setuju. Kita cakap kena ada isi, kita cakap kena menang, hasut rakyat mengundi kita.
"Cerita pasal masalah negara, ekonomi dan sebagainya perlu ada dalam membawang," katanya.
Katanya, beliau juga berharap pengundi muda termasuk mereka yang berusia 18 tahun yang pertama kali mengundi supaya membuka mata dengan isu-isu semasa negara.
"Kita nak anak muda buka mata dengan isu-isu yang ada di negara ini, ke mana kita nak bawa anak muda ini dengan masalah pekerjaan, ekonomi dan sebagainya.
"Sebab mereka adalah tonggak perubahan negara dan pada merekalah kita harap kerjasama supaya bantu kita merubah negara menjadi lebih baik lagi," katanya.