PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau memilih Tan Sri Azam Baki untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Sebaliknya Muhyiddin menjelaskan, Ketua Setiausaha Negara yang mencadangkan pelantikan Azam dan ia dibuat selepas diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong.
Beliau juga menjelaskan, pelantikan Azam telah melalui prosedur yang ditetapkan untuk mana-mana jawatan dalam kerajaan.
"Ya, dia dilantik waktu saya (perdana menteri) bila berlaku kekosongan bekas pesuruhjaya yang dahulu berhenti maka perlu ada pengganti.
"Yang melantik bukan saya iaitu selepas diperkenankan oleh Yang DiPertuan Agong, dan proses lantikan itu teratur mengikut peraturan.
"Pelantikan itu diperakukan oleh sebuah jawatankuasa, Ketua Setiausaha Negara mencadangkan nama, bukan saya pilih, KSN cadangkan kerana fikir dia layak," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pemulihan Negara.
Muhyiddin mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman pada Ahad yang mempersoalkan sama ada Muhyiddin memeriksa latar belakang Azam sebelum memberi nasihat berkenaan pelantikannya kepada Agong atau sebaliknya.
Azalina membuat kenyataan itu susulan kontroversi yang melanda Azam berhubung pemilikan saham, selepas dia mengaku adiknya Nasir Baki menggunakan akaun perdagangan miliknya untuk membeli lebih dua juta saham dan waran dua syarikat pada 2015 dan 2016.
Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang telah membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, namun anggota panel LPPR yang lain kemudian mendakwa pendirian tersebut hanyalah pandangan peribadi Abu Zahar.
Azam dilantik mengetuai SPRM berkuatkuasa 9 Mac 2020 selepas ketua pesuruhjaya sebelumnya Latheefa Koya melepaskan jawatan.
Muhyiddin kantoi |
-Awani