Kota Kinabalu: Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia hari ini mengesahkan sebuah pesawatnya yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau terpaksa dilencongkan ke Kuching, Sarawak, semalam.
Menerusi kenyataan media, Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia Kapten Liong Tien Ling berkata, pihaknya menyedari berlaku insiden (kelibat seekor ular dilihat di sebalik lampu pada siling pesawat) ketika penerbangan terbabit yang memaksa juruterbang mengambil tindakan melencongkan pesawat.
"Sebaik kapten (juruterbang) menyedarinya, beliau membuat keputusan untuk melencongkan pesawat ke Kuching sebagai langkah pembersihan pesawat. Insiden ini jarang berlaku dalam mana-mana pesawat," katanya.
Kenyataan itu berkaitan 'insiden' kelibat seekor ular yang dilihat di sebalik lampu pada bahagian siling pesawat ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau yang tular dalam media sosial, hari ini.
Liong berkata, juruterbang pesawat mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum penerbangan diteruskan ke Tawau supaya tiba dengan secepat mungkin.
"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.
Sebelum itu, satu video berdurasi 14 saat menunjukkan kelibat ular berada di dalam sebuah pesawat dipercayai dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau tular di TikTok.
Seorang pemilik akaun TikTok memuat naik video berkenaan yang menyatakan pesawat terpaksa membuat pendaratan cemas di Kuching, Sarawak sebelum mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman sosial berkenaan.