Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bawa dulu senarai 10 kerusi mahu tanding, Anwar beritahu MUDA



SHAH ALAM: MUDA perlu mengemukakan terlebih dahulu senarai 10 kerusi mahu ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, sebaik menerima senarai berkenaan pihaknya akan mengadakan perbincangan termasuk bersama semua rakan komponen gabungan itu.

“Tak apa biar mereka (MUDA) bawa senarai dulu kepada kita (PH), kemudian baru kita bincang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Sukarelawan Selangor (Serve) 2022 di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor.

Anwar mengulas hasrat MUDA yang dikatakan mahu bertanding 10 kerusi pada PRN Johor.

Terdahulu, PH memaklumkan gabungan itu akan bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Majlis Presiden PH berkata, gabungan itu yang terdiri daripada PKR, Amanah dan DAP turut bersetuju berunding dengan MUDA berhubung pembahagian kerusi.

Pada 4 Feb lalu Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata perbincangan dan rundingan antara partinya dengan PH berhubung kerjasama PRN Johor berjalan lancar.

Beliau berkata, bagaimanapun bentuk kerjasama itu belum diperincikan lagi termasuk pembahagian kerusi belum dimuktamadkan dan pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat kedua-dua pihak apabila tiba masa yang tepat.

Pengerusi MUDA Johor, Mohd Azrol Ab Rahani, sebelum ini berkata parti itu akan meletakkan semua calon di 56 kerusi DUN jika bertanding solo.

“Jika bertanding solo, kita yakin boleh menang di beberapa kerusi DUN di Johor Bahru, Batu Pahat dan Muar, namun seandainya kerjasama politik wujud membabitkan MUDA kita menyasarkan lebih daripada 10 kerusi yang diyakini mempunyai kelebihan buat kami,” katanya.

-FMT