KLUANG - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar UMNO untuk menggunakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atau Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai poster boy mereka bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jika benar UMNO masih satu parti yang harmoni dan tidak mahu berselindung di sebalik watak 'baik' serta membawa nama individu bermasalah, mereka perlu membuktikan sesuatu.
Beliau berkata, perkara itu juga bagi menjawab persoalan seringkali ditujukan oleh pimpinan UMNO adakah Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu akan terus menjadi poster boy mereka bagi PRN kali ini.
"Mereka (UMNO) sering mempersoalkan adakah kita berani lagi untuk membawa nama Tan Sri Muhyiddin sebagai poster boy dalam PRN Johor, ini apa punya soalan tak logik, dari awal sampai habis Tan Sri memang poster boy kita, tiada persoalan dan tiada keraguan.
"Beliau ini (Muhyiddin) adalah sosok dan lambang utama seorang pejuang yang sanggup kehilangan jawatan sebagai timbalan perdana menteri serta sebagai timbalan presiden parti hanya kerana mahu mengembalikan integriti dalam negara.
"Sebab itu kalau kita memang sah akan gunakan Tan Sri, kita akan jemput secara hormat, UMNO berani? cuba tampal gambar Zahid satu pelosok Johor, ada yang mungkin fikir tiga ke empat kali sebab dalam UMNO ini Presiden sebenarnya Zahid, tapi bila tampal muka dia Najib marah, tampal muka Najib nanti kalah (PRN) pula," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di Kahang di sini, pada Khamis.
Wan Saiful berkata, dalam keadaan UMNO yang dilihat kucar kacir kini, pihaknya juga ingin mencabar beberapa nama pimpinan parti berkenaan untuk menamakan calon mereka sebagai perdana menteri selepas PRU15.
Beliau berkata, ketelusan sering disembunyikan itu juga terus ditonjolkan apabila UMNO sehingga kini tetap menolak nama presiden mereka yang merupakan individu utama mengepalai parti.
"Saya nak cabar balik (Datuk Seri Dr) Puad Zarkashi, (Datuk) Nur Jazlan Mohamed dan (Datuk Seri) Mohamed Khaled Nordin, kalau betul berani cuba sebut siapa yang kamu mahu namakan bakal perdana menteri daripada UMNO selepas PRU15.
"Saya cabar tolong namakan Zahid Hamidi yang akan jadi perdana menteri daripada UMNO. Kalau pengecut tak berani sebut nama Zahid jangan duduk sentuh nama presiden daripada Bersatu," katanya.
Ujarnya, UMNO juga sehingga kini takut menamakan perdana menteri mereka adalah Zahid kerana kurangnya keyakinan ahli-ahli mereka kepada presiden yang sedang mempunyai kes mahkamah prima facie dan salah laku penggunaan wang.
-SInarHarian