PETALING JAYA: Satu laporan polis dibuat terhadap pemberi maklumat, Lalitha Kunaratnam, yang mendedahkan pemilikan saham dikaitkan dengan seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atas dakwaan menipu mahkamah.
Menurut sumber, Lalitha didakwa memberi kenyataan tidak benar berhubung statusnya sebagai penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), dalam pernyataan pembelaan pada 3 Feb lalu berhubung saman fitnah yang difailkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki terhadapnya.
FMT difahamkan laporan itu dibuat kira-kira 3.43 petang tadi di Balai Polis Sentul.
Sumber berkata, kenyataan media C4 pada pertengahan Januari lalu menjelaskan Lalitha tidak lagi bekerja untuk agensi itu sejak Disember 2020.
“C4 juga menjelaskan mereka tidak mempunyai kaitan langsung dengan penulisan yang dimuat naik oleh Lalitha,” kata sumber itu kepada FMT.
Azam memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha pada 12 Jan lalu berhubung artikelnya bertajuk “Business Ties Among MACC Leadership: How Deep Does It Go?”.
Azam menafikan sebarang salah laku dan menjelaskan pembelian lebih 4 juta saham dan waran dua syarikat tersenarai awam dilakukan adiknya menggunakan akaun dagangan beliau pada 2015 hingga 2016.
Suruhanjaya Sekuriti melakukan inkuiri susulan penjelasan itu dan mendapati tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat).
Lalitha sedang disiasat polis di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai ketika dihubungi turut mengesahkan menerima laporan tersebut.
-FMT