PRN JOHOR | Ketua Wanita PKR Johor, Napsiah Khamis, mendakwa ada calon Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sering menghubunginya untuk mendapatkan nasihat sehingga dia berasa terganggu.
Napsiah dalam hantaran di media sosialnya berkata calon Muda itu dikatakan sering menghantar pesanan ringkas untuk memintanya memberikan tunjuk ajar.
"Adoi calon Muda ni asyik mesej saja minta tunjuk ajar. […] Hakak busy kerja ini, tunggu free," katanya di Facebook.
Mengulas lanjut, Napsiah - yang disebut PKR sepatutnya bertanding di kerusi yang diberikan kepada Muda - berkata dia tidak tahu bagaimana hendak membantu calon terbabit.
Hal itu kerana, katanya, Muda dilihat kekurangan dalam serba-serbi .
"Macam mana nak ajar, jentera tak ada, bilik gerakan tak ada, apa pun tak ada," katanya.
Malam tadi Napsiah menzahirkan rasa tidak berpuas hati apabila parti Amanah menyerahkan kerusi Puteri Wangsa yang diperuntukkan Pakatan Harapan (PH) kepada parti Muda.
Hal itu berlaku selepas Amanah dan DAP mengumumkan mereka bersetuju menyerahkan enam kerusi kepada Muda untuk ditandingi dengan satu daripadanya Puteri Wangsa.
Daripada enam kerusi yang diberikan kepada Muda, Puteri Wangsa dilihat sebagai kerusi yang paling berpotensi untuk dimenangi memandangkan PH - dan sebelumnya Pakatan Rakyat - berjaya menang di kawasan itu selama dua penggal.
Mengikut Timbalan Ketua Penerangan PKR, Manivanan Gowin, kerusi Puteri Wangsa itu memang diingini mereka dan Napsiah sudah dipersiapkan sebagai calon di situ.
Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, PAS - ketika itu masih sebahagian daripada Pakatan Rakyat - memenangi kerusi Puteri Wangsa dengan majoriti 3,469 undi.