KOTA TINGGI: Mangsa yang mendakwa diganggu secara seksual membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain membuat pengakuan bersumpah bagi mengukuhkan dakwaan yang dibuat sebelum ini benar-benar berlaku.
Nursyafiqah Badsulhisham, 27, bercadang mendapatkan khidmat peguam bagi meneruskan kes tersebut sehingga dibawa ke muka pengadilan.
Nursyafiqah yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Bahagian Kota Tinggi membuat pengakuan itu kerana dia dan keluarga sering dibelenggu dengan detik hitam itu serta dikecam sengaja menimbulkan kontroversi.
“Wallahi Wabillahi Watallahi, saya Nur Syafiqah Badsulhisham mengaku saya telah dicabul oleh Rasman Ithnain seperti dalam laporan polis yang telah saya lakukan. Sekiranya saya berdusta, laknat Allah akan dijatuhkan pada saya,” katanya ketika membuat pengakuan bersumpah di rumahnya di Taman Guru, di sini hari ini.
Menerusi laporan tular sebelum ini, mangsa mendakwa diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri Rasman bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.
Kejadian kedua dan ketiga pula didakwa berlaku pada 3 dan 12 Januari namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakan perkara itu kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu.
Wanita itu akhirnya bertekad membuat laporan polis selepas mendakwa diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir berlaku, 13 Januari lalu.
Ibu kepada seorang anak itu berkata, susulan detik hitam itu, dia berasa malu untuk keluar rumah bertemu masyarakat dan mengalami tekanan emosi sehingga kemurungan.
Lebih menyedihkan, katanya, ada juga yang beranggapan perbuatan terkutuk itu hanyalah rekaannya semata-mata yang cuba menfitnah ADUN terbabit.
“Pada awalnya, saya tidak mahu membuat laporan polis kerana mahu menjaga aib namanya serta nama baik parti namun kejadian itu terus berulang. Saya fikir jika saya tidak berbuat sesuatu, perbuatan keji itu akan terus berlarutan dan mungkin dia (Rasman) akan bertindak lebih melampau lagi selepas itu.
Saya mẹmbuat laporan polis itu bagi melindungi diri saya namun apa yang meruntun jiwa saya apabila ada yang beranggapan peristiwa hitam itu berlaku atas kerelaan dan secara suka sama suka,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi berkata, siasatan berhubung kes berkenaan masih berjalan.
– UTUSAN