Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Muhyiddin bingung kenapa Najib korek semula cerita PRN Sabah



PAGOH: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tingkah laku mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah pelik dan suka membangkitkan perkara yang sudah selesai seperti isu di Sabah yang tidak akan membantu kestabilan negara dan negeri itu.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, beliau tidak pasti apakah agenda Ahli Parlimen Pekan itu melakukan perkara berkenaan melainkan dengan niat tertentu yang tidak elok.

Beliau juga hairan dengan cara Najib kerana Kerajaan Sabah berjalan dan berfungsi dengan baik pada waktu ini melalui persefahaman yang terjalin.

"Saya tak tahu dia nak korek cerita apa, saya tak tahu apa muslihat dan matlamat dia melainkan jika dia tidak ada niat yang jahat.

"Menimbulkan perbalahan ketidakstabilan ini tidak membantu negara. Sepatutnya dalam situasi ini, dia membantu mewujudkan kestabilan, bukan mempersoal perkara yang sudah sah dari segi Perlembagaan negeri atau sudut apa sekali pun.

"Sebab itu di Sabah luar biasa, UMNO ada di sana bersama kita di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS), jadi saya tak faham dan saya sudah jelaskan pendirian serta pandangan kita," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Prihatin Rakyat PN di Dataran Pagoh Jaya, dekat sini, hari ini.

Semalam, Muhyiddin dalam satu hantaran Facebook menyelar kenyataan Najib yang mendakwa pengkhianatan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menjadi punca Muafakat Nasional (MN) gagal.


Muhyiddin berkata, dakwaan Najib yang menuduh BERSATU meletakkan calon melawan UMNO pada PRN Sabah yang kononnya perbuatan khianat kepada UMNO adalah tidak benar sama sekali.

Katanya, perincian pembahagian kerusi dibincangkan pada peringkat jawatankuasa itu dan antara yang terbabit mewakili PN dan Barisan Nasional (BN) ialah Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor.

Terkini, Najib dalam reaksi balasnya meminta Muhyiddin tidak memutar belit keadaan kerana niatnya sudah diketahui dari awal untuk menamakan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

Najib berkata, UMNO diarah menyerahkan kerusi kepada BERSATU dan diminta berkempen di kerusi yang dikorbankan itu, namun parti itu pula yang dilantik menjadi Ketua Menteri sedangkan UMNO menang 14 kerusi, manakala hanya 11 dimenangi BERSATU.

-BHonline