Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Muhyiddin tak berniat mempermainkan nama arwah bapa Zahid' -Wan Saiful


JOHOR BAHRU: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak berniat untuk mempermainkan nama bapa Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap di Mersing, Rabu lalu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan Muhyiddin menyebut ‘Zahid Komedi’ ketika itu bukan merujuk kepada bapa Presiden UMNO itu sebaliknya perangai Ahmad Zahid Hamidi dalam berpolitik.

“Saya tidak rasa Tan Sri Muhyiddin mempermainkan nama bapa Zahid. Panggilan ‘Zahid Komedi’ bukan merujuk kepada bapa dia tetapi perangai dia yang macam badut.

“Zahid kata dia terasa hati nama bapa dia dipermainkan, baru dia tahu terasa hati tapi bila curi duit rakyat tak rasa apa pula. Kalau dalam hati ada taman, cepat ‘koyak’, tak payahlah masuk politik,” katanya ketika melancarkan Jentera Perikatan Nasional (PN) Ledang, dekat sini.

Rabu lalu, Muhyiddin dilihat mempersenda nama Presiden UMNO dengan panggilan ‘Zahid Komedi’ ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera PN Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, Mersing.

Sementara itu, Wan Saiful turut memberitahu UMNO telah mengheret rakyat negeri ini ke dalam kancah Pilihan Raya Negeri (PRN) hanya untuk menyelamatkan kumpulan kluster mahkamah dalam parti berkenaan.

“Jadi pengundi mesti menghalang kebangkitan UMNO, kalau tidak dihalang satu Malaysia akan rosak. Ini soal maruah orang Johor, takkan kita nak undi parti yang dipimpin pemimpin yang bakal ke penjara,” soalnya.

Jelasnya, UMNO juga dilihat semakin rakus apabila terus mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan Pilihan Raya Umum bagi merampas Putrajaya.

Dalam pada itu, Wan Saiful meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang baharu dikeluarkan untuk PRN Johor, kelmarin.

Katanya, SOP berkenaan tidak praktikal, berat sebelah serta menyukarkan pergerakan masyarakat dan sepatutnya perlu lebih fleksibel bagi memberi lebih ruang kepada parti politik dan jentera untuk berkempen. 

– UTUSAN