Kangar: Orang ramai yang sedang memilih lauk pauk untuk makan tengah hari di sebuah kedai makan di Bintong, di sini, terkejut apabila sebuah kereta merempuh premis itu, 12.45 tengah hari, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, kejadian berlaku apabila pemandu lelaki berusia 72 tahun tertekan pedal minyak kereta Perodua Myvi ketika membelok masuk ke lorong sebelah kanan jalan bersebelahan kedai makan itu.
"Semasa sedang membelok masuk ke lorong bersebelahan kedai makan itu, warga emas itu tertekan minyak menyebabkan kereta dipandunya hilang kawalan lalu melanggar kedai makan itu.
"Kemalangan itu tidak membabitkan kecederaan parah atau kemalangan jiwa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kemalangan mengakibatkan segala lauk pauk di kedai makan berkenaan tumpah dan bertaburan.
Menurutnya, kereta mangsa mengalami beberapa kerosakan dan kes diklasifikasikan mengikut Rule 10 LN166/59 kerana lalai dalam mengawal pergerakan kenderaan dengan baik.