KUALA LUMPUR: Najib Razak akan mencabar injunksi yang diperoleh 1MDB dan salah satu anak syarikat untuk membekukan asetnya selepas mereka memfailkan saman bagi mendapatkan semula USD681 juta (RM2.8 bilion) daripada bekas Perdana Menteri, kata peguamnya.
Farhan Muhammad Shafee, peguam pasukan pembelaan Najib, berkata cabaran itu dibuat atas pelbagai alasan, termasuk satu dakwaan terdapat kelewatan yang ketara dalam memfailkan injunksi Mareva berkenaan.
Farhan berkata, mereka menerima dokumen berkaitan hari ini dan sedang menyediakan maklum balas untuk mengetepikan perintah ex parte.
Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan inter-parte pada 21 Feb.
Kami akan memfailkan dokumen perundangan esok dan anak guam kami akan mencabarnya,” katanya kepada FMT.
Farhan mempersoalkan tempoh masa tindakan itu dibuat terhadap Najib, yang menghadapi beberapa pertuduhan berkaitan 1MDB.
“Pemfailan injunksi ex parte itu juga pelik dan mencurigakan,” katanya, tetapi enggan mengulas lanjut.
Semalam, mahkamah membenarkan injunksi ex parte yang antara lain membenarkan Najib mengeluarkan maksimum RM100,000 sebulan daripada akaun banknya sebagai perbelanjaan sara hidup.
Bagaimanapun, jika dia memerlukan lebih daripada jumlah yang dibenarkan, dia perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada 1MDB dan Global Diversified Investment Company Limited (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Limited).
Perintah itu juga menyatakan bahawa Najib mesti membuat pendedahan bertulis kepada 1MDB dan Global Diversified mengenai aset yang diletakkan di dalam atau luar negara di bawah namanya atau orang lain.
Injunksi Mareva ialah perintah mahkamah yang secara berkesan membekukan aset defendan daripada dilesapkan sementara menunggu keputusan atau penyelesaian tindakan undang-undang.
1MDB dan anak syarikatnya telah memfailkan saman berbilion dolar terhadap Najib, yang juga bekas menteri kewangan, dan beberapa defendan lain yang merupakan bekas pengarah atau lembaga penasihat dalam syarikat itu.
1MDB dan anak syarikatnya mendakwa USD681 juta telah diseleweng dan dipindahkan ke akaun Najib.
-fmt