PONTIAN: Polis sedang mengesan dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian menetak seorang lelaki di sebuah restoran di Bandar Benut, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, Balai Polis Benut menerima panggilan daripada orang ramai pada pukul 3.20 petang mengenai kejadian tersebut.
Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya telah menghantar pegawai dan anggota ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat daripada saksi kejadian.
“Bagaimanapun mangsa dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan kerana terdapat kesan luka yang parah akibat tetakan dipercayai menggunakan parang.
“Mangsa yang berusia 40 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian tangan kanannya,” katanya di sini, hari ini.
Tambah Mohammad Shofee, berdasarkan maklumat saksi di tempat kejadian, mereka melihat dua lelaki melarikan diri dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Alphard berwarna putih dengan nombor pendaftaran JTS 6818.
“Setelah semakan dibuat, nombor pendaftaran tersebut adalah palsu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di restoran tersebut akan dijadikan bahan bukti untuk kejadian tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi Inspektor Muhammad Syamil A.Fadzil di talian 013-7145506 bagi membantu mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian tersebut.
– UTUSAN