Pemimpin Bersatu boleh kembali kepada UMNO, tapi berat syaratnya -Zahid
PETALING JAYA: Umno sedia menerima ahli atau pemimpin yang meninggalkan parti itu untuk kembali semula ke pangkuannya namun bersyarat.
Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata, pintu Umno sentiasa terbuka untuk semua namun seandainya ada pemimpin atau ahli mahu kembali, mereka perlu melalui proses seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
Kami (Umno) tidak mengira umur atau asal-usul, jadi andainya ada antara mereka yang meninggalkan Umno dan berhasrat kembali, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.
“Mereka hanya diterima sebagai ahli biasa tanpa syarat, keistimewaan atau kelebihan. Ingat, Umno adalah gerakan menabur bakti dan kebaikan,” katanya di Facebook.
Terdapat ura-ura beberapa pemimpin kanan Bersatu akan kembali menyokong Umno dan Barisan Nasional (BN).
Sebelum ini, penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan DUN Larkin Mohd Izhar Ahmad keluar Bersatu dan menyeru rakyat menyokong BN pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.
Selepas BN tumbang kepada Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), beberapa wakil rakyat Umno termasuk 16 Ahli Parlimen meninggalkan parti itu dan menyertai Bersatu serta Warisan.