Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis beri amaran taktik baru godam akaun bank


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran kepada orang ramai berhubung kewujudan taktik baharu penipuan yang membolehkan penjenayah menggodam akaun bank mangsa menerusi fail Kit Pakej Android (APK).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata setakat ini pihaknya sudah menerima lima laporan membabitkan kes menggunakan modus operandi berkenaan.

Menurutnya, laporan polis yang diterima adalah tiga di Johor, dan masing-masing satu di Pulau Pinang serta di Sabah membabitkan kerugian keseluruhan berjumlah RM58,844.

Beliau berkata, siasatan mendapati penjenayah akan menggunakan laman sosial untuk mengiklankan penjualan barangan atau perkhidmatan saluran televisyen berbayar dengan tawaran iklan sentiasa diubahsuai bagi menarik lebih ramai mangsa.



“Mangsa yang berminat seterusnya akan diminta untuk memuat turun fail APK (Android Package Kit) yang dihantar menggunakan aplikasi Whatsapp.

Mangsa dikehendaki untuk memasang aplikasi tersebut di dalam peranti telefon pintar dan membuka akaun bagi membolehkan aplikasi tersebut digunakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian perlu memasukkan butiran seperti nombor kad pengenalan, butiran akaun bank dan butiran kad kredit di aplikasi berkenaan.


Menurutnya, aplikasi tersebut juga dikesan akan menggantikan sistem SMS di telefon pintar.

“Tanpa disedari, dengan pemasangan aplikasi yang meragukan ini, mangsa telah mendedahkan maklumat perbankan mereka kepada penjenayah yang seterusnya digunakan untuk menggodam dan memindahkan wang milik mangsa.

“Siasatan terhadap kes ini masih dijalankan dan orang ramai diingatkan untuk tidak memuat turun aplikasi daripada sumber yang meragukan.

Keselamatan sistem SMS pada telefon pintar hendaklah sentiasa dipelihara kerana ianya akan menerima SMS OTP (One Time Password) atau TAC (Transaction Authorization Code) daripada pelbagai aplikasi yang dipasang di telefon pintar anda,” katanya. 

– Malaysiapost